Kumpulan Hadis 40: Hadis 1

Apa khabar iman semua orang?? Moga sentiasa dalam lingkungan As-Sunnah dan dalam rahmat Allah S.W.T sentiasa. Diharapkan juga semuanya masih tegar dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah serta istiqamah dalam setiap ibadah. Moga apa sahaja yg kita lakukan…redha Allah menyusuli.

Memetik dari surah Al-Kahfi ayat 110, yang maksudnya ;

Katakanlah : “Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: “Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.” Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersukutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya.”

Tidak menyekutukan seorang pun dalam beribadah dapatlah kita kaitkan dengan niat yang ikhlas dalam beribadah hanya kerana Allah. Tiada yg lain patut kita sandarkan amalan kita, kerana seperti juga yang semua tahu, segala urusan akhirnya kembali kepada Allah jua.

Bercakap tentang niat, pasti mengingatkan kita akan hadis pertama yang dibentangkan Imam Nawawi dalam kumpulan Hadis Arbai’n yang disusun olehnya. Masih ingatkah anda akan hadis itu?

”Sesungguhnya segala perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas)  berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapat keredhaan) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dikehendakinya atau wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini telah disebut Rasulullah s.a.w berlandaskan peristiwa hijrah ke Madinah, yang mana, salah seorang daripada sahabat yang berhijrah pada waktu, telah berhijrah atas dasar untuk menikahi seorang wanita yang disukainya; Ummu Qais dan bukan untuk mendapat keutamaan hijrah. Maka sahabat itu kemudiannya telah dikenali sebagai ‘Muhajir Ummi Qais’ (orang yang berhijrah kerana Ummu Qais).

Telah dikatakan, bahawa hadis ini adalah antara hadis-hadis yang menjadi inti ajaran Islam. Menurut Imam  Ahmad dan Imam Syafi’e;

”Dalam hadis tentang niat ini mencakup sepertiga ilmu. Sebabnya adalah perbuatan hamba terdiri daripada perbuatan hati, lisan dan anggota badan, sedangkan niat merupakan salah satu daripada ketiganya.”

Dipetik daripada Imam Syafi’e juga;

“Hadis ini mencakup 70  bab dalam fiqh”

Atas kepentingan hadis ini, berdasarkan pendapat Imam-Imam di atas, tidak hairanlah apabila Imam Nawawi sendiri meletakkan hadis ini sebagai yang pertama dalam kumpulan Hadis Arbai’n nya.

Setelah dikaji dapat kita lihat antara pokok perbincangan yang disampaikan hadis ini. Antaranya termasuklah;

  1. Untuk membezakan antara ibadah dan adat – adat yang dimaksudkan di sini sesuatu yang dilakukan secara spontan dan tanpa niat. Bukankah indah jika adat kita turut menjadi ibadah yang diterima Allah?
  2. Untuk menentukan qasad amal – adakah amalan yang dilakukan untuk Allah atau yang lainnya.

Dari segi hukum pula, sesetengah ulama berpendapat bahawa, lafaz niat yang jahr adalah bida’h mungkarah (bida’h yang boleh membawa kepada dosa). Namun menurut Imam Syafi’e, lafaz niat yang jahr adalah lebih kepada sunnat jika ia mampu membantu hati dalam menegaskan niat tersebut. Walaubagaimanapun, terdapat juga pendapat ulama yang mengatakan, ia juga mampu menjadi haram, jika lafaz niat tersebut mengganggu orang lain.

Merujuk kepada ceramah yang disampaikan Ustaz Salam, telah digariskan beberapa pendapat daripada Imam Nawawi berkenaan hadis ini. Antaranya adalah;

  1. Keberuntungan akan diperolah oleh mereka yang berniat hanya kepada Allah. Khususnya apabila amalan yag dilakukan, ganjarannya tidak akan diterima di dunia. Bagi para dua’t, inilah yang dinanti-nantikan selama kita hidup di dunia. Dakwah yang kita berpegang kepadanya, tidak mengajar kita untuk mengharapkan ganjaran di dunia. Tetapi ganjaran tersebut semata-mata di sisi Allah yang akan diberikanNya di akhirat kelak.
  2. Kejayaan di dunia hanyalah ‘secondary’, tetapi kejayaan di akhirat itulah yang ‘primary’. Meletakkan niat kita hanya berlandaskan dunia hanya menampakkan betapa kecilnya cita-cita kita.  Dunia dapat, akhirat terlepas. Bukankah lebih beruntung jika dunia dapat, akhirat pun lepas? Tidakkah ganjaran di akhirat itu lebih mengiurkan? – ” Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan memasukkanmu ke dalam tempat tinggal yang lebih baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar” (61:12)
  3. Niat menjadikan amalan lebih besar atau lebih kecil daripada yang sepatutnya. Sebagai contoh; seorang jutawan yang ingin menderma, tetapi merasakan derma RM 10 sudah mencukupi. Seorang fakir yang terlalu ingin bersedekah mengeluarkan RM 1 nya yang terakhir. Walaupun jutawan tersebut menginfakkan harta yang lebih berbanding si fakir itu, namun, niat si fakir itu menyebabkan infaknya lebih besar daripada si jutawan.
  4. Campur aduk niat yang bukan semata-mata kerana Allah, boleh menyebabkan amalan tersebut menjadi tidak berkat. Hal ini turut boleh menyebabkan lambatnya pertolongan daripada Allah itu datang, kerana Allah tidak akan membantu pasukan teteranya yang tidak ikhlas kepadanya.

Niat menjadi pokok amalan kita sehari-hari. Semoga dengan amalan yang hanya berlandaskan Allah S.W.T semata, amalan kita diterima, dan pintu syurga akan menerima kita dengan gembiranya.

Wassalam. 

 

Comments

comments


No comments.

Leave a Reply