Kita dan Islam

Ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya, Maza Ya’ni Intima-i Li al-Islam, telah menyatakan bahawa di dunia ini terdapat tiga kategori manusia:

Kategori Pertama

Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:

“Dan tentu akan mereka katakan: “Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan”. (al-An’am : 29)

“Dan mereka berkata: “Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” (al-Jatsiyah : 24)

Kategori Kedua

Golongan yang telah hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah bersimpang-siur serta melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah S.W.T. Namun, mereka masih menyangka mereka telah berbuat kebaikan. Meskipun mereka beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat, tetapi iman dan kepercayaan mereka terhadap Allah dan hari kiamat itu terputus dari aktiviti serta amalan hidup mereka. Mereka itu pada hakikatnya berfahaman kebendaan (materialistik) walaupun kadangkala mereka melakukan kerja-kerja kebajikan.

Kategori Ketiga

Golongan yang menganggap bahawa dunia ini sebagai ladang tanaman untuk dipungut hasilnya di akhirat kelak. Golongan ini benar-benar beriman dengan Allah S.W.T. Mereka mengetahui hakikat hidup ini serta memahami nilaian dunia ini berbanding dengan hari akhirat.

“Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (al-An’am : 32)

Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah S.W.T dan mencari keredhaanNya. Seluruh kehidupannya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) akan diarahkan kepada Allah S.W.T.

Bagaimana pula dengan kita? Dalam golongan manakah kita? Jika kita mahu tergolong di kalangan orang beriman, kita perlulah :

1. Mengetahui matlamat hidup. Sebagaimana firman Allah S.W.T:

“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepada-Ku).” (az-Zariyat: 56)

2. Memahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.” (at-Taubah : 38)

3. Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran dari kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana firman Allah S.W.T (yang bermaksud):

“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.” (Ali-Imran : 185)

4. Mengetahui benar-benar akan hakikat deen Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.

5. Mengetahui hakikat jahiliyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan jahiliyah. Dengan memahami jahiliyah sahajalah baru orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, dia terselamat dari tipu daya mereka.”

Neraca Dalam Kehidupan

Dalam kehidupan kita sebagai manusia, kita hendaklah mengambil neraca dan nilai syara’ ketika berhadapan dengan setiap perkara. Kebaikan dan keburukan sesuatu perkara itu haruslah mengambil kira pandangan syara’ berdasarkan kaedah ini:

“Yang baik ialah apa yang dipandang baik oleh syara’ dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syara’.”

Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang dari mengambil nilai yang lain daripada syara’. Firman Allah S.W.T (yang bermaksud):

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (al-Jaatsiyah : 18)

Allah memperingatkan kita jika kita memilih neraca selain dari neraca Islam. Ini akan menyesatkan kita dari jalan Allah S.W.T.

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.” (al-An’am : 116)

Neraca Allah

Pada Allah, nilaian dan keuntungan yang besar itu hanya dimiliki oleh mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam firman-Nya (yang bermaksud):

“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.” (al-’Asr: 1-3)

As-Syahid Syed Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa iman merupakan tunjang kehidupan yang dapat membuahkan amal yang baik dan bermanfaat dalam seluruh kehidupan manusia. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah S.W.T. Allah S.W.T telah membuat perbandingan di dalam firman-Nya (yang bermaksud):

“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Ibrahim : 18)

Jadilah kita sebagai seorang Muslim yang memiliki iman dalam kehidupan ini. Dengan iman itu sahaja, kita dapat mengambil neraca Islam dalam seluruh kehidupan kita. Apabila kita hidup di dunia ini dengan neraca Allah, sudah pasti kita akan menjadi manusia paling beruntung di dunia.

 

Diolah oleh:
Muharikah

Comments

comments

No comments.

Leave a Reply