Kau terlalu istimewa!

 

Sudahkah anda merasai syurga yang semerbak harumnya di dunia? Jika belum, janganlah anda putus asa mencarinya. Jika anda sudah menemuinya, corakkanlah warna-warna indah pada taman syurga tersebut dengan pembaikan-pembaikan yang berterusan.

 

Tentunya halaqah atau usrah yang dipimpin oleh manusia ini tidak selalunya sempurna kerana kemampuan manusia yang terbatas. Namun, sekurang-kurangnya ia adalah salah satu cara agar kita terus-menerus terikat dengan jalan hidayah dan Islam ini. Seharusnya, sebuah halaqah atau usrah itu perlu menatijahkan produktiviti dalam beramal. Oleh kerana itu, kita perlu mengenal potensi diri kita dalam beramal. Pada hakikatnya, kita bukan hanya baik untuk diri kita seorang sahaja, tetapi kita juga harus memberi kesan kepada manusia lainnya di atas kebaikan yang kita lakukan. Dan apabila kebaikan itu turut diberi kepada orang lain, ia pasti akan memberikan suatu kesan yang luar biasa kepada diri anda. Sesuatu yang tidak pernah anda rasai sebelum ini.

 

Walaupun anda merasai betapa lemahnya dan terbatasnya diri anda dalam melakukan pembaikan dan perubahan, yakinlah bahawa diri anda mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri, yang tiada pada orang lain. Percaya atau tidak, kita mampu menjadi yang terbaik dari lapangan kita sendiri. Tetapi, ia bukanlah dengan menyamakan diri kita dengan orang lain.

 

Lihat sahaja kepada betapa berbezanya Abu Bakar dan Umar R.A, namun kedua-dua mereka adalah orang kuat Rasulullah S.A.W. Umar R.A merupakan seorang sahabat yang tegas dan garang. Sedangkan Abu Bakar R.A pula jauh lebih lembut dan berperasaan. Namun, keduanya dengan keunikan mereka telah menguatkan bangunan Islam dan memenangkannya.

Malah, ada banyak lagi contoh di kalangan para sahabat yang berbeza antara mereka, namun perbezaan itulah yang menjadikan mereka unik. Akhirnya, Islam itu tertegak di atas muka bumi ini hasil daripada potensi mereka yang pelbagai yang diletakkan pada posisi yang boleh memanfaatkan Islam.

 

Mungkin dahulu anda pernah bersama halaqah atau usrah. Namun, atas sebab-sebab tertentu, anda tidak dapat lagi bersama teman-teman anda. Rasa segan dan malu menyelubungi diri apabila anda mahu kembali semula bersama mereka. Akhirnya, anda lebih selesa memilih hidup tanpa ikatan dan tanggungjawab yang melebihi tanggungjawab anda bersama keluarga. Pada anda, dunia dakwah yang suatu masa dahulu telah menggemilangkan hidup anda itu hanyalah suatu sejarah sahaja.

 

Jangan begitu! Syaitan pasti terkinja-kinja melompat kegembiraan dek melihat keturunan Adam A.S yang larut dalam kehidupan dunia mereka walaupun solat mereka cukup lima waktu! Kita hanya menjadi ‘abdillah dan seakan-akan terlupa bahawa kita tetap mempunyai satu lagi tugas utama yang lain iaitu menjadi khalifah yang memimpin dunia ini dengan Islam dan menyeru manusia kepada Allah S.W.T.

 

Seharusnya, kita sentiasa perlu menyumbang untuk Islam dan berdakwah kepada Allah S.W.T. Walaupun situasi dan keadaan berubah, ujian menghambat dan tanggungjawab bertambah, kita sekali-kali tidak boleh mematikan potensi dan keunikan diri dalam berkarya di jalan Allah. Gunakanlah kelebihan yang ada pada diri ini untuk Islam. Walaupun anda pernah ‘terjatuh’, ia tidak bermakna anda sudah tidak ada peluang untuk kembali. Kembalilah bersama dengan lingkaran sakinah. Kembalilah untuk terus berkarya.

 

Kenalilah potensi diri kita. Jika kita tidak merasai adanya keunikan dan kelebihan diri, maka carilah, dan galilah. Jangan merasa lemah seandainya melihat orang lain lebih hebat, kerana setiap orang harus dan wajib menyumbang untuk Islam mengikut kemampuan dan cara masing-masing.

 

Yakinlah! Allah pasti membalas usaha hamba-hamba-Nya dengan pahala.

 

Berusahalah meningkatkan kualiti diri selagi muda, agar di hari tua nanti, hidup terasa nikmat dengan sejuta karya.” (Dr. ‘Aidh Al-Qarni)

 

Anda, terlalu istimewa buat ummah ini. Berkaryalah sepenuh hati anda, selagi hayat masih ada!

Comments

comments

No comments.

Leave a Reply