‘IZZAH VS ZHONN

Saya tidak tahu mahu mulakan dari mana. Tetapi, saya harus katakan bahawa penularan penyakit ini semakin mencederakan hati dan membuatkan telinga saya bernanah. Lalu jari jemari saya semakin gatal mahu mengetik keyboard bagi meringankan ‘beban’ yang tergalas ini.

“ Saya takkan pergi pasar malam. Jika saya pergi pun, saya takkan beli apa-apa. Tengoklah, mereka itu solat atau tidak? Makanan yang kita makan tu air tangan orang tak solat, tak tutup aurat dengan baik? Makanan tu ke yang nak bagi makan kat family?”

Gulp. Saya dan teman saling memandang. Mata kami membulat dengan dahi kerut seribu. Penceramah di hadapan meneruskan lontaran idea-ideanya.

“ Dengar sini, kalau ada ‘akhwat’ mesej kamu jam 2 pagi, tanya hal yang tidak penting, jangan pernah ambil dia sebagai isteri”

Uhukuhuk. Wow, itu satu tips untuk akhwat juga! Hurmm…

APA MASALAHNYA

Ya, tiada dan memang tiada kecacatan teknikal pada penyataan di atas. Siapa mahu makan air tangan orang tidak solat, ahli maksiat dan tidak masuk syurga?Siapa pula yang hendak beristerikan atau bersuamikan si penghantar SMS lewat malam, atau kata-kata popular ahli tarbiyah, “ Tak jaga ikhtilath”? Nanti apabila sudah kahwin, belakang pasangannya pun akan dibuat hal yang sama, berhubung tanpa batasan!

Tetapi, ya tetapi…

Menjadi da’ei atau peserta tarbiyah seringkali membuatkan kita overating diri sendiri. Merasakan, hanya kita dan sesungguhnya kita, tiada lain yang lebih baik air tangannya, yang lebih solat daripadanya, yang lebih layak diambil sebagai isteri atau suami, yang lebih wara’ perlakuannya berbanding manusia ‘biasa’ lain yang kita lihat di pasar malam, di dalam LRT, di tepi-tepi jalan,di pasar raya, di facebook dan di mana-mana tempat yang kita rasa di situ adalah ‘sarang maksiat’. Memandang manusia lain yang tidak menutup aurat sebagai picisan, memandang satu kesalahannya dengan satu hukuman yang maha berat, menilai keberadaan seseorang di suatu tempat adalah lambang keimanannya.

MENGAPA TIDAK…

…kita bersangka baik. Atau kita terlalu ‘izzah (proud) dengan tarbiyah yang kita miliki sehingga kita merasakan kita sahajalah manusia yang beriman di muka bumi ini dan sebagai tanda kesyukuran memperoleh nikmat tarbiyah, membuatkan kita merasa ‘orang lain’ tidak bernasib baik seperti kita. Awas pada kata-kata yang kita lontarkan saat membahaskan tentang ‘izzah, awas ideologimu saat membanding beza jahiliyahnya mereka dan taqwanya dirimu. Jangan sampai bersangka-sangka, menghukum dengan hanya dengan satu pandangan, dan merasa ‘ujub akan kesucian dirimu. Saat itulah amal seorang da’ei akan tersungkur hancur bagai debu. Dan mereka yang dianggap tidak solat, tidak layak dibuat ‘jodoh’, dan air tangan yang jijik seolah-olah ada air maksiat yang mengalir akan melambaimu di pintu syurga.

KETAHUILAH…

Tidak semua orang yang beramal ibadah lalu menunggu-nunggu agar orang perasan akan amalnya itu. Tidak semua orang yang mahu menjajakan yang dirinya adalah ditarbiyah dan menjaja kebaikannya agar diakui semua orang. Kawan, barangkali kita masih berada di kelompok orang tarbiyah, lalu kita mudah ‘sensitif’ dengan satu kesalahan ikhwan kita dan menganggap hilanglah tsiqahnya. Barangkali kita biasa menampilkan amal untuk berlumba-lumba akan siapakah yang lebih terkedepan dan lebih terserlah fikrahnya sehingga tertekan saat dirinya tidak mendapat perhatian atasan.

Mandirilah, merantaulah dan musafirlah. Tidak semua mereka yang berseluar jeans, berambut panjang dan ber-T tengkorak itu adalah samseng Kampung Dusun. Tidak semestinya si penjual murtabak maggi di pasar malam tidak solat hanya kerana kita melihatnya jam 7.55 masih sedang menjual. Tidak semestinya juga Cik Ti yang menghantar SMS di malam hari akanANDALUSIA(anak dara lanjut usia) kerana terhukum oleh kecuaiannya dalam ‘ikhtilat’. Atau jika dia bernikah sekalipun pastilah lelaki Buaya Darat sahaja yang layak untuk Cik Ti itu.

Barangkali kita mahu berhati-hati, menjadi wara’ dengan hal-hal yang syubhah. Tetapi biarlah ia dalam hati, simpan dan sisipkan sebagai prinsip di dada. Jangan menggembar-gemburkan pra sangka buruk kita terhadap orang, jangan menghasut orang lain untuk berfikir negative tentang orang lain. Mereka yang kita sangkakan begitu begini rupanya adalah ‘seseorang di sisi Allah’, sedang kita yang begitu ‘izzah dalam kata-kata dan pelakuan kita, mungkin sedang dipilih Allah untuk ke jurang neraka. Ya, saya banyak bertemu manusia ‘biasa’ yang soleh dan manusia soleh yang aneh. Mungkin saya diberikan peluang berada dalam keadaan dua dunia berbeza; dunia tarbiyah dan dunia sosial.Tidak jarang saya temukan manusia ‘biasa’ ini lebih manusiawi, lebih sufi dan lebih bagus akhlaknya daripada orang soleh. Mereka bukannya tidak ‘izzah, tetapi rendah hati barangkali kerana mereka sedar, mereka bukanlah ustaz, ustazah. Namun, pada mereka ada ‘nilai kemanusiaan’ yang banyak juga saya kagumi.

DI JALAN CINTA PARA PEJUANG

Kita bukanlah juru ukur terhadap iman dan amal manusia. Sedangkan malaikat tugasnya hanya mencatat kerana apa yang dalam hati itu hanya Allah mengetahuinya. Di jalan cinta para pejuang, tidak rugi jika kita bersangka baik, memandang diri sendiri yang tidak cukup baik, bukannya orang lain. Jika tidak mampu mengawal zhonn dalam hati, jangan pula disebarkan prasangkamu ke segenap alam. Di jalan cinta para pejuang, dengan tarbiyah sahaja bukan satu-satunya jalan ke syurga, kerana syurga itu banyak pintunya..

 

Comments

comments

One Response to “‘IZZAH VS ZHONN”

  1. izzah

    Jan 03. 2013

    pernah seorang motivator berpesan, jadilah kita seorang manusia yg bermata lebah, bukan bermata lalat . lebah , suka memandang yang wangi, yang harum .lihat manusia dgn kebaikan . while lalat, suka yg busuk, yg kotor. hnya keburukan manusia sj yg dia nmpak .

    Reply to this comment

Leave a Reply