Diari Mutarabbi 2: Apakah Kunci Kepada Taujih Kita?
Di dalam diari mutarabbi yang lepas, kita telah memahami bahawa medan tarbiyyah amat luas di mana para dai’e pasti boleh mendapat manfaat dari segenap ruang yang ada di muka bumi ini.
164. Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.”
(Baqarah, 2: 164)
Murabbi kita pula adalah sebahagian dari sumber tarbiyyah kita. Tetapi tugas utama murabbi kita yang perlu kita fahami adalah untuk mentauji kita. Kerana gelaran dia ‘murabbi’lah yang melayakkan dia untuk mentaujih kita. Tidak akan berjaya dakwah dan tarbiyyah ini jika tiada unsur taujih, kelak kita akan tersasar. Bolehlah kita merujuk kembali Diari Mutarabbi 1, jika ingin memahami lebih lanjut mengapa murabbi kita selayaknya mentaujih kita dan bagaimanakah kita memupuk keyakinan akan taujih yang diberikannya sedangkan murabbi kita juga manusia biasa seperti kita, yang juga banyak lalai lemahnya.
Kunci utama pentaujihan: Tsiqqah
Salah satu perkara yang disarankan dalam bagaimana memupuk sifat yang mengoptimumkan pentaujihan kita ialah “Tsiqqahlah terhadap murabbi kita walaupun ada perkara-perkara yang mampu menggugat ketsiqqahan kita terhadapnya. Bukankah kita juga banyak kelemahan dan kecelaan. Tegurlah mereka dengan lembut dan ikhlas?”
Jangan bilang tentang tsiqqah
Ah! ‘Tsiqqah’lah antara perkataan yang paling meloyakan kita apabila murabbi kita atau penceramah lainnya menjadikan ia sebagai saranan kepada kita dalam memperbaiki amal dakwah & tarbiyyah. Memang cannot go bak kata bahasa pasarnya. Entah mengapa, tiba-tiba pada saat itu kita merasakan ini bukan dunia tarbiyyah kasih sayang, tetapi dunia pemerintahan diktator, seolah-seolah perkataan tsiqqah itu sama ertinya dengan taat tanpa bicara. Mungkin hati kita yang tidak suci murni, ataukah saranan untuk tsiqqah itu tidak sepatutnya muncul pun dari mulut murabbinya. Ataupun, kita yang tidak memahami makna tsiqqah dan kekuatannya.
Pada pandangan saya, tsiqqah itu tidak perlu di minta, tetapi perlu diberi. Maka boleh jadi memang tidak valid untuk kita menyarankan seseorang untuk tsiqqah pada kita. Ianya seolah-olah kita menyatakan kepada seseorang, “Cintailah aku dengan sungguh-sungguh, jika tidak engkau tidak akan mendapat manfaat daripada hubungan ini”.
Ya, memang, tsiqqah itu kita perlu beri, bukan dipinta.
Apa kata Imam Al-Banna tentang tsiqqah
Sebelum kita terus membuat andaian berbagai apa makna tsiqqah dan bagaimana ingin menggapai ruh tsiqqah, mari kita lihat ulasan Imam Syahid Hasan Al-Banna mengenai tsiqqah di dalam Arkanul Bai’ah yang digariskan olehnya;
Apa yang aku maksudkan dengan tsiqqah ialah pengikut yang berlapang dada terhadap qiyadah (pemimpin) mereka, pada kemampuan dan keikhlasan mereka, dengan sepenuh rasa ketenangan sehingga merasakan rasa kasih, hormat, penghargaan dan ketaatan. Firman Allah yang bermaksud: “Maka demi Tuhan-mu mereka (pada hakikatnya) tidak akan beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa’,4 :65)
Pemimpin adalah sebahagian dari da’wah dan tiada da’wah tanpa pimpinan. Kepercayaan antara pemimpin dan pengikut menentukan kekuatan sistem jama’ah, kerapian strategi, kejayaan untuk mencapai matlamat, dan kemampuan mengatasi halangan dan kesusahan yang terbentang di hadapannya. Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Taat dan mengucapkan perkataan yang baik (adalah lebih baik bagi mereka).” (Muhammad, 47: 21)
Di dalam dakwah Ikhwan, pimpinan ibarat hak seorang bapa di sudut ikatan hati, -ibarat seorang guru di sudut memberi keilmuan, -ibarat, seorang syeikh di sudut tarbiyyah kerohanian dan pemimpin di sudut pentadbiran dan polisi umum da’wah. Da’wah kami menghimpunkan semua makna-makna ini.
Itulah makna tsiqqah dari sudut da’wah dan tarbiyyah kita yang syumul.
Tsiqqah dalam kehidupan realiti
Kembali kepada realiti kita, memang banyak cabaran untuk memberikan tsiqqah kepada murabbi kita terutamanya bila kita tahu akan kelemahannya. Tetapi kita perlu sedar, tanpa tsiqqah kepada murabbi kita seperti mana yang didefnisikan oleh Imam Syahid, kita tidakkan akan di taujih sebaiknya.
Kesamaran dalam pentaujihan akan membantutkan kemajuan dakwah samada di peringkat individu iaitu kita sendiri malahan kemajuan dakwah kita secara jamaah. Malahan kita berkemungkinan tidak berganjak kemana-mana kerana tidak mendapat hala tuju yang selari dengan keseluruhan bahtera dakwah ini. Lagi buruk, tanpa kita sedari, kita akan tersasar dari misi dakwah dan ghayah kita.
Sebagai pelajar di peringkat pengajian kedoktoran, supervisor merupakan pentaujih terpenting di dalam kajian saya walaupun sebenarnya saya boleh membuat pelbagai kajian mengikut cita rasa orang lain, atau cita rasa saya sendiri. Jika saya mengendahkan taujih dari supervisor saya, Universiti saya tidak akan maju, ahli kumpuan kajian saya tidak bertambah hasil kerjanya malah ada kemungkinan saya sendiri tidak dapat menamatkan pengajian saya. Tanpa khuatir, saya akan mendapatkan taujih dari supervisor, lalu berbincang dengannya jika ada perselisihan halatuju. Akhirnya tenang dengan keputusan bersama yang dibuat atau keputusan yang dibuat olehnya lalu terus melaksanakan tugasan dengan sedaya upaya.
Maka antara kunci kemajuan diri dalam dakwah dan pembinaan individu muslim kita adalah pentaujihan, yang mana ia memerlukan tsiqqah kepada murabbi dan pemimpinnya.
Ahmad Sufian Bin Abdullah
[UiTM], The University of Manchester
www.pyanuddinalhelmy.blogspot.com










Recent Comments