Dakwah Rabbani (Rabbaniyatud dakwah)

Assalamualaikum w.b.t para ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah

Berapa ramai yang pada kami

Tetapi dia bukan daripada kami

Dan berapa ramai yang daripada kami

Tetapi dia (sebenarnya) bukan pada kami

Tidakkah kau nampak wahana yang harus ditanggung oleh sesebuah gerakan dakwah, begitu tubuhnya semakin membesar, ahlinya semakin bertambah, dan gerak-kerjanya mula menampakkan penghasilan? Serentak dengan tertariknya manusia berbondong kepadanya, maka serentak dengan itulah keaslian gerakan dakwah itu mula terhakis. Para pendokong yang mula bersamanya tidak lagi tertapis. Hingga hal-hal asasi yang dulunya menarik minat sekelian ramai orang, sudah mula pahit dan kehilangan manis.

Hingga, berapa banyak gerakan Islam di Malaysia yang mengaku bahawa merekalah Ikhwan Muslimin cawangan Malaysia, tapi saling bercakaran sesama mereka? Mereka mengambil manhaj dakwah Ikhwan, tetapi tarbiyah yang menjadi “main product” Ikhwan sahaja tidak lagi mereka titik-beratkan?

Atau mereka yang mengaku bermanhaj Salafi, tetapi akhlaq dan pemahaman mereka justeru memalukan sahaja para pengikut dakwah Salafiyah ini. Hingga ke tahap membawa fitnah kepada dakwah Quran dan Sunnah ini.

Begitulah, berapa ramai yang mungkin ia memang sebahagian daripada sesebuah gerakan dakwah, tetapi kriteria yang ia miliki tidak selayaknya menghiasi criteria gerakan dakwah yang ia ceburi? Dan, berapa ramai juga yang mungkin ia tidak bersama gerakan dakwah itu secara zahiri, tetapi fikrah dan kesungguhannya menjadikan ia bersatu dengan jemaah dakwah secara fikri dan qalbi.

Lantaran itu, ketika kalian mahu memilih untuk terjun ke dalam dunia dakwah, tentunya bersama sebuah khafilah dakwah, usahlah anda melihat “nama” jemaah dakwah itu, sebaliknya lihatlah karakteristik dakwah, atau khosoisud dakwah yang ingin anda abdikan dirimu terhadapnya. Kerana tiada ertinya anda berada di dalam jemaah dakwah yang betul dan terbaik, dari segi namanya, tetapi gerak kerjanya jauh panggang daripada api daripada induk jemaah dakwah yang sebenarnya. Jika tidak bertentangan dengan kitabullah dan sunnah rasul-Nya.

Melihat kepada khosoisud dakwah(ciri-ciri atau karekteristik dakwah)adalah umpama kita melihat apa yang diperkatakan(ma qouli)oleh seseorang, berbanding melihat orang yang bertutur kata(man qoula)itu. Dengan sebegini, anda bukan sekadar bersama khafilah dakwah ini secara sembrono, tetapi anda justeru memilih bersama dakwah ini di atas dasar cinta. Iya, dasar cinta!

TECHNICAL SPECIFICATION

Dalam kerjaya seorang jurutera, spesifikasi atau singakatannya spec sesuatu jentera atau perkakas sangatlah penting. Malah, ianya lebih penting berbanding paras rupa fizikal sesuatu perkakas itu. Ini berbeza dengan sudut pandangan orang-orang umum: mereka biasanya lebih cenderung pada keindahan dan keunikan paras rupa sesuatu alatan semata-mata.

Contohnya kereta. Secara umum, orang awam lebih cenderung memilih kereta bersandarkan reka bentuk dan rupa fizikal kereta tersebut (dengan mengabaikan sebentar tentang soal harga). Ini tentunya berbeza dengan mereka yang memang berjiwa jurutera, semuanya terletak pada specnya. Kami para jurutera lebih rela memiliki sebuah kereta bak “peti ais” asal enjinnya bagus, suspensionnya class, breknya mencengkam, absorbernya mantap dan sebagainya, berbanding memiliki kereta bak rupa Knight Rider yang hanya indah khabar dari rupa misalnya. Kerana para jurutera (barangkali) lebih menghayati tujuan asasi wujudnya kereta itu: Sebagai sebuah medium pengangkutan semata. Atau, istilah yang biasa kita para aktivis dakwah gunakan, iaitu wasilah. Maka, untuk menunaikan “tujuan hidup” sesebuah kereta, tentunya spec jauh lebih mustahak berbanding paras rupa fizikalnya.

Begitulah juga dengan sesebuah jemaah dakwah. Apalah ada pada nama, andainya ciri-ciri atau khoshoisud da’wahnya tidak bisa menghantar kita kepada keredhaan Tuhan? Lantas, dengan memahami betapa jemaah itu sebagai wasilah bukannya tujuan, ciri-ciri dan karesteristik dakwah itulah yang harus kita perhatikan. Nah, apakah karakteristik sesebuah gerakan dakwah itu?

Yang pertamanya ialah rabbani.

Rabbaniyah ad-Da’wah

Dalam bahasa mudah, rabbani itu ialah “rabb orientated. Kalau orang yang “bola orientated” misalnya, ia akan melihat semua perkara yang dilihatnya akan ada kaitannya dengan bola (semisal iklan Celcom satu masa dahulu) hingga makannya bola, tidurnya bola (hanya minumnya sahaja Coca-cola), maka, orang yang “rabb orientated” akan senantiasa melihat, malah merasakan kebesaran Tuhannya dalam setiap kejadian, dan segenap peristiwa yang dilihat dan dilaluinya sehari-hari.

“Dan kelak akan KAMI perlihatkan kepada mereka ayat-ayat (tanda-tanda kebesaran) KAMI di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah kepada merepa sesungguhnya (al-Quran itu) adalah kebenaran..” (Surah Fushilat [41]:53)

Jugam rabbani itu adalah sifat yang menjadikan tarbiyah “melekat” pada dirinya. Ertinya dakwah yang rabbani, akan senantiasa menjadi tarbiyah sebagai “main product”nya, biar mihwar mana pun yang ia lalui. Persis restoran KFC yang menjadikan ayam sebagai main productnya, biarpun sehebat mana pun pelanggannya menggemari udang yang ia tawarkan.

Dan rabbani –seperti mana tauhid rububiyyah yang diterima oleh semua kalangan- juga harus mempunyai sifat kemanusiaan itu. Biar pun dakwah sememangnya menuntut sebuah pengorbanan, tetapi pengorbanan-pengorbanan itu masih dalam rangka kemanusiaan.

Misalnya, tak sepatutnya seorang murabbiyah/ naqibah mengarahkan anak usrahnya yang sedang mahu bersalin untuk tetap hadir ke usrah, hanya sekadar beralasan “anti kena berkorban ukhti..” Iya, ukhti itu memang harus siap untuk berkorban, tetapi awak wahai sang murabbiyah pula harus lebih bersifat peri-kemanusiaan. Lupakah anda dengan hadith Nabi SAW;

“Orang yang tak mengasihi, tidak akan dikasihi?”

Benarlah pendapat Imam ar-Raghib al-Ashfahani tentang ta’rifnya tarbiyah:

Insya’us syai halan fahalan ila haddit tamam ; “Menumbuhkan sesuatu dari satu kondisi ke kondisi lain sampai pada kesempurnaan”

Begitulah juga erti rabbaniyatud dakwah sebenanrnya. Bak puisi Ayatul Husna didalam KCB;

 

Kau mencintaiku

Seperti bumi

Mencintai titah Tuhannya

Tak pernah lelah

Menanggung beban derita

Tak pernah lelah

Menghisap luka

Kau mencintaiku

Seperti matahari

Mencintai titah Tuhannya

Tak pernah lelah

Membagi cerah cahaya

Tak pernah lelah

Menghangatkan jiwa

Seperti bumi yang justeru berputar kerna mentaati titah Tuhannya, atau seperti juga matahari yang tetap terus memancarkan cahayanya dek kerana mentaati titah Tuhannya.

Maka, seharusnya dakwah jua begitu. Dakwah, ketika ia berlaku semata-mata dek kecintaannya pada titah Tuhannya, maka itu ertinya dakwah itu sedang memiliki nuansa “rabbani”.  Ia menjelma kerana cintanya pada Rabbnya. Ia terlaksana demi meninggikan kalimah Rabbnya. Dan ia tidak akan pernah berakhir, selagi pelaku-pelaku “Rabb orientated” yang lain; bumi, matahari, dan yang lain-lainnya, pupus dari persada alam maya, atau tamat sudah rentetan masa dan waktu.

Maka, kerana itu Syaikh Fathi Yakan memilih dalil yang paling tepat ketika menekankan bahawa ciri yang pertama(dan terutama)yang harus dimiliki oleh sebuah gerakan dakwah itu, adalah sifat Rabbani.

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan mati adalah kerana ALLAH Rabb sekalian alam”(Surah al-An’am [6]:162).

Ertinya, dakwah yang kita maksudkan, hanyalah dakwah yang mempunyai sifat-sifat rabbani. Ia Rabb orientated. Ia menitik beratkan tarbiyah. Dan seperti mana setiap manusia mengimani ALLAH pada tauhid rububiyyahnya, maka sebegitulah dakwah juga bisa diterima oleh setiap kalangan manusia. Ia tidak melanggar prinsip-prinsip manusiawi. Namun, ia akan tetap mengorek segala potensi yang ada pada manusia, hingga ia mampu berobah “from zero to hero.”

Lalu mari kita perhatikan apakah dalil-dalil yang di dalamnya ALLAH menyebut tentang “rabbani” ini. Tentang mereka-mereka yang rabbani ini; itulah golongan “rabbaniyyun.”

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi(sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin(yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.(Surah Ali Imran [3]:79)

Dan berapa banyak dari Nabi-nabi(dahulu)telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan(agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk(kepada musuh). Dan(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar(Surah Ali Imran [3]:146)

Maka, daripada ayat-ayat di atas, bisa kita menyimpulkan bahawa dakwah yang rabbani, harus memiliki 3 hal;-

a) Rabbaniyah ar-Risalah(intipati perjuangan itu harus rabbani)

b) Rabbaniyah ar-Rijal(pada kader dan pemikul panji dakwah ini pun harus Rabbani)

c) Rabbaniyah al-Jama’ah(perjuangan ini harus secara perkumpulan. Dan kumpulan itu adalah jamaah. Dan bukan sebarang jamaah, tetapi Jamaah yang sifatnya Rabbani).

Ketika dakwah sudah melengkapkan dirinya dengan 3 anasir ini, maka tiadalah yang bisa menghalangnya untuk menyahut janji Tuhannya, betapa bumi akan pasti terwariskan pada mereka-mereka yang soleh.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh” (Surah al-Anbiya’ [21]:105).

Lalu mengalirlah dakwah ini seperti air, sedang air itu menghidupkan, sedang air itu juga mencintai titah Tuhannya, seperti indahnya puisi si Ayatul Husna(KCB);

Kau mencintaiku

Seperti air

Mencintai titah Tuhannya

Tak pernah lelah

Membersihkan lara

Tak pernah lelah

Menyejukkan dahaga

Dakwah yang rabbani, itulah cirri-ciri asasi sebuah gerakan dakwah. Kerana Rabbani tiap tahun jadi kumpulan Nasyid terbaik. Bukan UNIC, bukan Raihan, Hijjaz, dan yang lain-lainnya.

wallahuallam

Penulis asal : Ir. Faridul Farhan Abd Wahab

Blog penulis: Tadabbur al-Engineer

Comments

comments

No comments.

Leave a Reply