Petik suis itu!

aida December 13, 2011 0

Bismillahirrahmanirrahim

Tertarik untuk berkongsi ayat ini:

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (Al-Quran) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah  iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya kepada sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar membimbing kepada jalan yang lurus”

(As-Syura; 42:52)

Buku itu. Buku yang dukacitanya kita lihat rata-rata umat hari ini memandang enteng kepentingannya. Dibiarkan di tepian, elok berbungkus tidak berbuka. Tidak dibaca atau ditelaah seperti buku-buku yang lain. Buku itu padahalnya adalah satu cahaya! Semasa manusia di dalam kegelapan, terkapai-kapai mencari jalan, tidak mengetahui apa itu Islam,  tidak merasa nikmat manisnya iman kerana kelemasan dalam kepahitan jahiliyah! Buku itu Allah turunkan sebagai penerang! Seperti satu kampung yang kegelapan tidak punya bekalan elektrik baru mendapat pencawangnya! Dapat bayangkan?

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai, ” (Al-Furqan : 30)

Bilanya Rasul berkata demikian? Bila di akhirat kelak, bilamana manusia-manusia zalim menggigit jari kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya – meletakkan apa? meletakkan Al-Quran sekadar hiasan semata-mata!

Ibarat seperti sebuah kampung yang sudah bergelap gelita, bila di sambungkan talian elektrik, tidak diendahkan. Apabila malam menjelma, tidak dibuka satu lampu pun! Mampukah mereka meneruskan sehingga ke siang? Hiduplah bergelap begitu sekiranya merasakan ia bukan keperluan, kalau rasa tak erlu nak bergantung kepada cahaya! Mungkin…mungkin mereka sudah biasa, tapi hakikatnya, mereka sungguh kasihan, teraba-raba dalam kegelapan, terkapai-kapai macam si buta tidak bertongkat. Sunggguh kasihan! Bahkan, entah sempat bertemu siang entah tidak. Kerana dalam gelap bahaya di mana-mana.

Kalau kita terjumpa kampung begini, pasti lintasan fikiran kita yang pertamanya ialah “sombong! tak tahu bersyukur!”

Jadi, apakah pula tanggapan kepada manusia yang menyombong diri daripada cahaya anugerah Allah ini?

“Dan (ingatlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil kalan yang benar bersama-sama Rasul” (Al-Furqan:27)

Semoga berjaya bertemu dengan siang hari! Bukalah lampu itu! Hadiah daripada-Nya untuk kita. Tanda kasih sayang-Nya kepada kita yang lemah dan amat memerlukan huluran bantuan-Nya.

Itulah kalam suci Al-Quran, pemberian-Nya buat kita smeua. Allah itu baik sekali!

 

 

Penulis asal : Eushahida Farizza Raffar

Blog : http://eushahidaraffar.com/



Leave A Response »