Aku juga ingin menulis buku

Salam

sudah lama orang memintaku menulis buku. Sudah 5-6 tahun barangkali. Hasrat itu sering menjadi dendam yang tidak tertunai.

Hanya kerana aku tidak mampu bertahan untuk menulis untuk sesuatu perkara dalam masa yang lama. Berlainan dengan majalah dan blog. Apa yang kita fikirkan terus kita tuliskan. Malah tidak berapa terikat dalam tema yang sama.

Menulis buku… hurm..

Aku sudah pun menyiapkan sebuah manuskrip tentang berfikiran positif, ditujukan buat sahabatku yang sering memandang rendah akan dirinya, namun Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya dirinya di hadapan mataku.

 

Manuskrip itu berhenti separuh jalan. Di kala aku menatap dan cuba mengeditnya, terus langsung aku rasa tak berapa bagus isinya.

 

Seringkali di waktu aku pergi ke kedai kesukaanku ( apa lagi, kedai bukulah kan? hehe) aku berlegar-legar di sekitar buku best seller dan juga novel-novel tempatan.

Tak lekang di benakku…

‘ Bilalah nak ada buku tulisan para pemuda dakwah pula ini… yang penuh dengan karya-karya kreatif dan best!’

 

Memang sudah ada, tapi masih belum mencukupi untuk menyaingi genre penulisan lainnya.

Dan seringkali pulang dari kedai buku aku akan berfikir dan berazam untuk menulis dengan banyaknya. Aku sempat membeli dua buku Prof Muhaya, konon-kononnya aku mahu menulis bagaimana untuk cemerlang dalam dunia dakwah dan study.

 

Namun, setiap kali pulang ke rumah dan kembali ke lattop ini, ilham itu seolah tersekat, dan aku seolah-olah memaksa diriku menulis.

 

Lantas aku bertanya pada diriku sendiri,

 

‘ untuk apa aku menulis sebenarnya?’

 

Inilah dilemanya. Jika kita menulis untuk sebuah peradaban, ia tidak boleh sambil lewa dan hanya ditulis pada waktu semput tak berdaya. Ia memerlukan pemahaman dan fokus mendalam kerana yang mahu dibentuk bukanlah ayat-ayat berbunga, tapi makna yang dapat menggugah jiwa dan menggerakkan sebuah perubahan.

 

Ia bukan mudah. Malah Syed Qutb hanya mampu menulis karya monumennya di dalam sebuah penjara. Saya memerlukan masa kerehatan dari semua kesibukan, walaupun pada saya itu adalah alasan untuk membenarkan saya untuk tidak berusaha lebih lanjut lagi.

 

Menjadi seorang doktor hakikatnya mengeringkan tenaga jasadiyah dan juga hati. Hati hanya hidup dengan ilmu dari langit. Itulah al-quran dan as-sunnah. Manakan hati kita hidup dengan melihat pesakit dan ubat2, atau ketika memasukkan branullae dan menulis discharge summary? Ia sukar. Malah jika hati tidak diberikan peringatan, tentunya akan kebas dan taboo dengan kematian. Nampak patient mati hari-hari rasa biasa sahaja.

Disebabkan itulah, bagi seorang biasa untuk menulis sebuah karya monumen dakwah adalah suatu perjuangan yang amat berat. Kerana itu aku kagum dengan saudaraku yang sebaya denganku, berpekerjaan engineer mampu menghasilkan sebuah buku ISK di waktu kerjayanya. Begitu juga penulis Mesir yang lain seperti Dr Raghib As-sirjani dan juga amr khalid yang bukan berlatar belakangkan agama namun mampu menulis karya dakwah yang amat luar biasa.

Kerana, kata-kata dakwah, bukanlah boleh dipetik dari kata-kata manusia yang marhaen penuh berdosa. Ia adalah kata-kata mahal dari sejarah peradaban Islam. Ia adalah hasil dari mata air perjuangan.

 

Di sebabkan itulah, impianku hanya mampu diterjemahkan dahulu di peringkat ini, blog dan juga majalah. Sehinggalah di satu masa nanti, aku mempunyai sedikit ruang waktu untuk duduk bertafakur sebentar menilai semula apa yang sudah berlaku selama kehidupanku di dunia dakwah ini.

 

Banyak yang kami pelajari dahulu, namun pada realitinya, ia tidak seperti kami sangkakan. Kebakuan fikrah di atas kertas, ternyata tidak mampu mengubah hakikat hati dan jiwa kami, walaupun kami dahulu orang yang fasih berbicara bahasa dakwah. kerjaya, kedudukan dan juga kemewahan barangkali menukar perspektif, dan akhirnya, ramai antara kami memilih kerehatan, dan beralah, dari terus tegas dengan prinsip dan mencari jalan yang baru untuk menegakkan prinsip. tanpa berlaku perselisihan dan perpecahan.

Namun apa yang berlaku, pada rata-rata kami adalah, kembali kepada dunia complacent, kerjaya, wang, dan keluarga.

 

Apa sudah jadi dengan ikrar, sesungguhnya harta, jiwa, kerjayaku hanya untuk dakwah? Diinfakkan untuk dakwah?

Dahulu, itulah slogan yang sentiasa membasahkan dan membakar jiwa-jiwa.

Kini, kelesuan, dan kemanjaan semakin bermuara. sehinggalah, kekeringan hati mula melata, sehingga kita tidak lagi mengenali, apakah erti sebuah kebasahan.

Astaghfirullah..

Zaman sudah lama berlalu. Yang menjadi juara dahulu tidak lagi menjadi juara kini. Anekdotnya, tidak ada generasi baru yang mampu direplikasikan menjadi juara yang lebih hebat dari orang dahulu. maka meramailah di kalangan orang dakwah yang hanya biasa-biasa sahaja, asalkan ada sahaja. Sedangkan yang kita mampu adalah manusia- manusia luar biasa walaupun angkanya tidak seberapa.

 

Namun, kita masih gagal meniti hari-hari mendatang dengan sepenuh kekuatan jasad dan ruh yang kita ada.

Kita hanya ada angka-angka. Masih lagi. dari dahulu hingga sekarang.

Begitu juga diriku. Aku pun masih mencari lagi kekuatan dan kebasahan luar biasa seperti dahulu. Kerancakan amal dan juga hati yang sentiasa bernyala-nyala untuk melihat sebuah tamadun dakwah kembali kencang bergerak.

 

Namun….

Perjalanannya masih lagi panjang. DAn kita harus terus mengorak langkah ke hadapan. Tidak tertipu dengan kilaun-kilaun sementara di tengah-tengah perjalanan…

Wasalam

Ukhtikum

Muharikah

Sg Buloh

 

Comments

comments

One Response to “Aku juga ingin menulis buku”

  1. Ila

    May 29. 2013

    ‘kebakuan fikrah di atas kertas’

    Reply to this comment

Leave a Reply