9 Faktor Islam Akan Menguasai Dunia!

Kita harus yakin bahawa masa depan adalah milik Islam. Islam diturunkan Allah SWT dan Dia sahajalah yang paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia.

Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat menyeimbangkan tuntutan lahiriyah dan juga ruhaniyah manusia.

Bagaimana Islam akan menguasai masa depan dunia?

  1. Islam adalah manhaj Rabbani yang amat berbeza penghayatannya dengan sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.
  2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka) dan berupaya untuk menanggung sebarang kemungkinan. Keterbukaan Islam ini menerima siapa sahaja tanpa mengira bangsa dan tanah air untuk menganut agama ini.
  3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan ruang untuk menghadapi pelbagai permasalahan hidup yang datang silih berganti. Dalam Islam, dibolehkan untuk umatnya berijtihad atau mengeluarkan hukum-hakam terhadap perkara-perkara yang tiada nas melalui Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.
  4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat Yang Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia.
    Firman Allah SWT:
    “Itulah sibghah (corakan/celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya daripada celupan Allah.” (al-Baqarah : 138)
  5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme, sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia dan lemah.
  6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
  7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.
  8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
  9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah. Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan.

 

Karya sumbangan pembaca Majalah JOM!

Comments

comments

No comments.

Leave a Reply