10 Cara Menyambut Ramadhan

 

Petikan ikhwan online

 

Bagaimanakah cara terbaik menyambut ketibaan bulan yang mulia ini? Hal ini supaya seorang muslim itu tidak leka di dalam musim beramal ini dan semoga dia termasuk orang yang berlumba-lumba dan bersaing di dalam beramal ibadah di dalam bulan ini. Firman Allah: “Maka hendaklah berlomba-lomba orang yang berlomba-lomba”. (Al-Mutaffifin: 26)

 

Seorang muslim sewajarnya menyambut Ramadhan dengan melakukan perkara berikut:

 

1.Berdoa supaya Allah menyampaikan anda ke bulan Ramadhan dalam keadaan yang sihat sejahtera supaya cergas beribadah kepada Allah; berpuasa, qiam, zikir.

Dari Anas bin Malik r.a berkata: “Nabi saw apabila tiba bulan Rejab baginda akan berdoa: “ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. (HR. Ahmad dan Tabrani)

 

Para Salafussoleh berdoa kepada Allah supaya mempertemukan mereka ke bulan Ramadhan, kemudian berdoa supaya mereka dapat menyambut Ramadhan. Apabila kelihatan anak bulan Ramadhan mereka bergegas berdoa dengan berkata: “Allah Maha Besar, Ya Allah anugerahilah kami keamanan, keimanan, keselamatan dan Islam. Limpahkanlah kami taufik seperti yang Engkau sukai dan redhai, Tuhanku dan TuhanMu adalah Allah”. (HR. Termizi, Darimi dan disahihkan oleh Ibn Hibban)

 

2. Panjatkan pujian dan syukur kerana mempertemukannya kepada Ramadhan. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Kitab Al-Azkar: “Ketahuilah bahawa Allah sangat menyukai orang yang apabila memperolehi nikmat yang zahir dan mengelakkan daripada terkena sesuatu kecelakaan yang zahir dia akan bersujud dan memuji-muji Allah kerana syukur kepadaNya”.

 

Di antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan kepada hamba ialah taufik dan hidayah untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Justeru suatu nikmat yang besar apabila seorang tiba bulan Ramadhan dalam keadaan kesihatan yang baik. Dengan itu sewajarnya dia bersyukur dan memuji Allah sebagai pemberi nikmat  dan kelebihan kepadanya. Berilah pujian sebanyak-banyaknya sepertimana yang patut dilakukan kepada Allah SWT yang memiliki keagungan dan ketinggian kekuasaan.

 

3. Bergembira dan suka dengan kedatangan Ramadhan. Satu riwayat yang sahih dari Rasulullah saw, bahawa baginda akan menggembirakan para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadhan sambil bersabda: “Telah datang bulan Ramadhan, bulan yang pernah keberkatan yang Allah wajibkan puasa di dalamnya, di bulan ini dibuka pintu syurga dan ditutup pintu  neraka”. (HR. Ahmad)

 

 

Para Salafussoleh yang terdiri dari para Sahabat dan Tabien sangat memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan serta bergembira dengan ketibaannya kerana menerima berita yang paling besar tentang hampirnya bulan Ramadhan yang merupakan musim ibadat dan turunnya rahmat.

 

4. Berazam dan merancang aktiviti supaya dapat mengambil manfaat dari Ramadhan. Apa yang menyedihkan ramai orang termasuk orang yang beragama merancang dengan teliti tentang urusan dunia, tetapi tidak ramai yang berbuat demikian dalam urusan akhirat. Ini disebabkan kurang kesedaran tentang tugas dan tanggungjwab mukmin di dalam kehidupan ini, lupa atau leka bahawa seorang muslim memperolehi peluang yang banyak bersama Allah dan temu janji penting untuk mendidik jiwanya sehingga teguh di atas urusan ini. Di antara contoh rancangan kepada akhirat ialah rancangan untuk memenuhi Ramadhan dengan ketaatan dan ibadah. Justeru seorang muslim hendaklah menentukan agenda atau program praktikal untuk memenuhi siang dan malam Ramadhan dengan ibadah kepada Allah. Pesanan yang anda tatap ini membantu anda untuk memenuhi Ramdhan dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah. Insya Allah.

 

5. Menyematkan tekad dan azam yang teguh untuk memenuhi dan memaksimakan masa di bulan Ramadhan dengan amalan soleh. Oleh itu orang yang benar dengan keimanan kepada Allah pastilah Allah akan menolong dan memudahkan untuknya berada di jalan yang baik. Firman Allah: “Padahal jika mereka benar-benar (beriman) kepada Allah, pastilah yang demikian itu lebih baik baginya”.(Muhammad: 21)

 

6. Berilmu pengetahuan tentang hukum-hakam Ramadhan kerana seorang mukmin yang menyembah Allah wajib mempunyai pengetahuan dan tidak dibenarkan sama sekali jahil tentang perkara-perkara fadhu yang telah Allah wajibkan ke atas hambaNya. Oleh itu tentang puasa Ramadhan, seorang muslim sewajarnya mempelajari permasalahan dan hukum puasa supaya ibadah puasanya betul dan diterima Allah. Firman Allah: “Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui”. (Al-Anbiya’: 7)

 

7. Kita hendaklah menyambut ketibaan Ramdhan dengan azam untuk meninggalkan noda dan dosa serta bertaubat dengan sebenar-benarnya daripada semua keburukan, menyesal dan tidak mengulanginya semula. Ramadhan adalah bulan taubat. Justeru jika tidak bertaubat pada bulan ini bila lagi mahu bertaubat? Firman Allah:“Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung”. (An-Nur: 31)

 

8. Mempersiapkan jiwa dan ruh melalui pembacaan dan ulangkaji ke atas buku, artikel dan mendengar kaset dan cd ceramah agama berkenaan fadilat dan hukum-hakam puasa sehingga jiwa benar-benar bersedia untuk melakukan ketaatan dan ibadah. Nabi saw ketika mempersiapkan jiwa para sahabatnya untuk merebut kelebihan bulan ini dengan telah berpesan semasa di penghujung Sya’ban: “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan..” (Ahmad dan Nasai)

 

9. Bersedia dengan sebaik-baiknya untuk gerak kerja dakwah:

-          Menyampaikan beberapa pesanan dan tazkirah dengan pengisian yang baik di masjid dan surau tempatan.

-          Mengedarkan risalah dan buletin ringkas yang berkaitan Ramadhan kepada para jemaah dan penduduk tempatan

-          Menyediakan hadiah Ramadhan sekadar kemampuan anda dan yang bersesuaian seperti hadiah cd, buku, majalah dan sebagainya. Tulislah ini adalah hadiah Ramadhan.

-          Mengingati orang miskin dan fakir dan sentiasa bersedekah dan berzakat kepada mereka.

 

10.Kita menyambut Ramadhan dengan membuka lembaran putih dan bersinar bersama:

-          Allah dengan bertaubat

-          Rasul saw dengan mentaati apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang dan ditegah

-          Ibubapa, jiran tetangga, kaum kerabat, suami isteri, anak-anak dengan berbuat baik dan menghubungkan silaturrahim.

-          Masyarakat yang anda hidup bersamanya dengan menjadi hamba yang soleh dan berguna. Sabda nabi saw: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling berguna kepada manusia (masyarakat)”.

 

Demikian langkah yang diambil oleh seorang muslim semasa menyambut Ramadhan seakan-akan seperti bumi yang kemarau menantikan hujan, pesakit yang menantikan kedatangan doktor yang akan merawat dan kekasih yang menanti kedatangan kekasih yang berjauhan.

 

Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Comments

comments

Trackbacks/Pingbacks

  1. 10 Cara Menyambut Ramadhan | Syurga Neraka - December 17, 2012

    [...] Sumber [...]

Leave a Reply